Penyanyi, Izwan Pilus antara mangsa penyakit ini yang meninggal dunia dan kes terbaru membabitkan atlet sepak takraw negara, Syazreen Qamar dijangkiti simptom sama selepas dipercayai mandi air terjun di Negeri Sembilan sebelum dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.
Walaupun rekod penyakit ini tidak begitu popular menerusi publisiti dan hebahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepertimana usaha mengatasi demam denggi di negara ini tetapi penyakit kencing tikus berupaya meragut nyawa sesiapa saja tanpa diduga.
Mengikut statistik, jumlah penyakit ini adalah terendah sehingga menjadi faktor terhadap masyarakat di negara ini memandang ringan dan tidak mengambil serius mengenai usaha mencegah penyakit seumpama ini terus berlaku.
Hakikatnya, penyakit ini sangat berbahaya apabila ia disebarkan melalui sejenis bakteria dikenali sebagai leptospira yang dibawa seekor tikus yang juga boleh disebarkan haiwan lain seperti anjing dan serigala.
Pada tahun lalu, seorang pelajar Maahad Tahfiz Darul Anuar, Pulau Melaka meninggal dunia akibat terkena jangkitan bakteria berbahaya ini selepas mengikuti perkhemahan di Bukit Bakar, Machang Kelantan.
Disusuli satu lagi kes sama pada Oktober lalu menyaksikan seorang pelajar perempuan Kolej Matrikulasi Labuan disyaki terkena jangkitan sama dan dilaporkan meninggal dunia.
Terkini, kes seumpama berlaku di Kedah pada minggu lepas apabila keseronokan lima sekeluarga pulang bercuti bertukar menjadi mimpi ngeri selepas anak sulung mereka meninggal dunia akibat positif dijangkiti virus penyakit kencing tikus.
Difahamkan, mangsa sebelum ini mengalami demam panas dan dimasukkan ke hospital swasta sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar setelah keadaannya menjadi semakin serius.
Sikap Masyarakat Pandang Ringan
Bagi membongkar sejauh mana keprihatinan rakyat di negara ini mengambil berat terhadap penyakit ini, wartawan Malaysian Digest melakukan tinjauan dan pemerhatian tahap kebersihan di kawasan perumahan dan premis restoran di sekitar Lembah Klang.
Menerusi tinjauan itu mendapati, tiga buah premis makanan dan tiga buah kawasan perumahan tidak mengamalkan langkah kebersihan yang baik.
Bagi premis makanan, kebersihan dapur tidak diberi penekanan sewajarnya apabila lantai kotor dan sisa makanan juga bersepah di merata tempat. Begitu juga, kawasan perumahan berdepan masalah sistem kutipan sampah tidak bersistematik termasuk sikap penduduk yang membuang sampah di merata tempat mengundang pembiakan tikus yang membawa virus berbahaya ini.